MASALAH MEROKOK DALAM KALANGAN REMAJA
Di seluruh dunia,4 juta orang meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit berkaitan dengan penggunaan tembakau dan menjelang penghujung tahun 2020, dianggarkan kadar kematian akan mencecah 10 juta orang. Fakta yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, menyatakan setiap hari, lebih kurang 45 hingga 59 remaja di bawah umur 18 mula merokok di negara kita. Jumlah remaja lelaki yang merokok berusia 12 hingga 18 tahun pula adalah sebanyak 30 peratus. Sementara itu, bilangan remaja perempuan yang merokok semakin bertambah. Dalam tahun 2000 dan 2004, bilangan remaja perempuan yang merokok telah bertambah dari 4 peratus ke 8 peratus.
Risiko seseorang remaja untuk kekal menjadi perokok bermula dengan percubaan pertamanya. Remaja yang mencuba untuk merokok akan lebih cenderung untuk terus merokok sehingga dewasa, berbanding dengan remaja yang tidak mencuba. Ini kerana, nikotin boleh membawa kepada sindrom ketagihan yang sama dengan ketagihan heroin dan kokain.
Pada peringkat permulaan, remaja yang merokok mahu dilihat sebagai seorang yang berdikari dan bebas untuk melakukan apa yang disukai.
Kecenderungan remaja untuk merokok atau tidak merokok adalah berdasarkan kekerapan dan jangka masa mereka berhubungan dengan individu yang merokok.
Remaja menjadikan tingkah laku tertentu seperti merokok ini sebagai tunjang kepada identiti kumpulan mereka. Jika status perokok dan bukan perokok dilihat penting dalam menentukan identiti sosial kumpulan, maka ahli-ahli sesebuah kumpulan selalunya akan berkongsi tingkah laku yang sama. Ideanya ialah akan terdapat kumpulan-kumpulan remaja yang boleh dikategorikan sebagai kumpulan merokok dan tidak merokok.
Keluarga dan rakan-rakan merupakan dua kumpulan agen sosialisasi terpenting selain sekolah dan media. Sebagai agen sosialisasi, keluarga dan rakan-rakan memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk tingkah laku dan kendiri seseorang remaja.
Pengaruh keluarga dalam menentukan tingkah laku merokok telah menarik minat ramai pengkaji-pengkaji isu sosial. Terdapat banyak kajian yang menyatakan hubungan antara tingkah laku merokok dengan faktor keluarga. Kajian mendapati tingkah laku merokok di kalangan adik beradik yang lebih tua mendorong remaja untuk turut sama merokok.
Tingkah laku merokok di kalangan remaja juga membuatkan remaja berasa memperoleh kebebasan dan autonomi.
Seseorang yang telah membentuk tabiat merokok pada usia yang muda akan mempunyai tahap ketagihan nikotin yang lebih serius berbanding dengan mereka yang bermula merokok pada usia yang lebih tua. Tingkah laku merokok yang kerap di kalangan remaja akan membawa kepada masalah kesihatan semasa dan juga kelak apabila dewasa. Tabiat merokok seawal usia remaja akan mengurangkan kadar tumbesaran paru-paru untuk berfungsi pada kadar maksimum. Remaja yang merokok juga mempunyai kadar kecergasan yang lebih rendah berbanding dengan remaja yang tidak merokok. Tahap kecergasan seseorang perokok itu adalah berkadar langsung dengan jangka masa dan kekerapan merokok. Remaja yang merokok akan sering mengalami sesak nafas, batuk, pitam, berkahak dan secara keseluruhannya mempunyai tahap kesihatan yang rendah.
Kebimbangan kepada pertambahan jumlah perokok di negara kita, membawa kepada usaha kerajaan melancarkan Kempen Tak Nak iaitu kempen kesedaran yang disasarkan kepada golongan remaja pada 9 Februari 2004. YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapannya di perasmian kempen tersebut menganjurkan agar golongan dewasa dapat memberi teladan dengan berhenti merokok.
Kempen ini bertujuan mencegah keinginan golongan remaja untuk merokok dan menyangkal tanggapan bahawa tabiat merokok adalah suatu yang diterima dalam masyarakat. Kerajaan sebenarnya telah membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk kempen anti merokok sejak tahun 2000 lagi.
Jadual Perbelanjaan Kempen Anti Merokok oleh Kerajaan, 2000-2003
Tahun RM
2000 RM 70,000
2001 RM 94,000
2002 RM 88,000
2003 RM 80,000
Jumlah RM 332,000
Sumber: Bernama, 22 September 2004.
Ibu bapa dan keluarga perlu menyedari keunggulan jiwa dan kekuatan remaja untuk tidak terlibat dengan tabiat merokok, sangat bergantung dengan pendekatan dan tingkah laku seharian isi rumah. Dan perkara ini bermula daripada pendidikan isi rumah. Keluarga perlu mempunyai maklumat dan kesedaran tentang bahaya merokok dan melihat tingkah laku tersebut lebih daripada perspektif budaya dan kesihatan.
No comments:
Post a Comment