I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday 28 September 2011

Masalah Berkaitan Solat

Soalan:
1. Apakah batal sembahyang sekiranya kain telekung terselak hingga menampakkan jari kaki sedangkan ketika itu saya tinggal seorang diri dan tidak ada sesiapa pun yang melihatnya?

Jawapan:
Batal. Kerana menutup aurat adalah antara syarat-syarat sah sembahyang. Sembahyang itu wajib dilakukan semula tanpa perlu membaharui wuduk.

Soalan:
2. Ketika sedang di dalam sembahyang berjemaah, imam telah terbatal sembahyangnya. Apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh makmum untuk meneruskan sembahyang. Pernah saya ternampak makmum di belakang imam perlu mengambil alih kedudukan imam dan bagaimana caranya dan bagaimana jika tiada reaksi daripada makmum dibelakang imam, bolehkah makmum yang lain mengambil alih kedudukan imam?.

Jawapan:
Apabila Imam terbatal sembahyangnya dalam sembahyang berjemaah, makmum yang betul-betul berada di belakang imam itu bertanggungjawab menggantikan tempat imam dan meneruskan sembahyang tersebut. Makmum ini juga bertanggungjawab menegur imam dalam menunaikan rukun-rukun sembahyang termasuk bacaan. Jika imam terbatal, beliau hendaklah keluar dari tempatnya dengan tertib, setidak-tidaknya kesebelah kiri tempat imam tersebut sekiranya tidak ada laluan untuk kebelakang. Apabila makmum di belakang beliau sedar bahawa tempat imam telah kosong, maka makmum ini perlu bergerak ke hadapan dengan pergerakan yang tidak lebih dari dua pergerakan. Setelah sampai ke tempat imam maka hendaklah disambung dari mana tempat imam terdahulu terhenti. Kekosongan yang ditinggalkan oleh makmum yang menggantikan imam itu hendahlah diisi oleh makmum yang sebelah atau yang di belakang dan seterusnya. Sekiranya kita berada jauh di belakang dan tiada siapa yang mengambil alih tempat imam, maka kita boleh berniat mufarakah(berpisah) dari imam dan meneruskan sembahyang tersebut secara sendirian.

Soalan:
3. Setahu saya jika kita bersolat, pakaian kita tidak boleh menjadi alas kepada anggota-anggota badan seperti tangan dan tapak kaki? (jika betul). Bagaimana pula dengan tapak kaki untuk kaum wanita yang sewajibnya melabuhkan telekung solat mereka yang nampaknya menjadi alas keseluruhan tapak kaki ketika bersolat. Sah atau tidak solatnya?

Jawapan:
Solatnya sah, kecuali sekiranya sujudnya terhalang. ( Dahi terhalang dari mengenai tempat sujud walaupun oleh sehelai rambut).

4. Soalan:
Seringkali bila saya sampai ke masjid, azan telah habis dilaungkan. Pertanyaan saya sembahyang sunat manakah yang patut saya lakukan samada sunat Tahyatul Masjid atau sunat Kabliyatan ?

Jawapan:
Sekiranya waktu sembahyang tersebut mempunyai sunat qabliyah (Isya', Zuhur, Subuh, Asar) maka hendaklah dikerjakan solat sunat qabliyah tersebut, tetapi untuk waktu yang tidak mempunyai sunat qabliyah maka Tahyatul masjid adalah lebih utama.

Soalan:
5. Apakah hukumnya bagi orang yang mengerjakan sembahyang sunat ketika khatib sedang membaca khutbah, sedangkan sebelum khatib membaca khutbah, diingatkan oleh bilal barangsiapa yang berkata "DIAM" sekalipun, akan luput pahala sembahyang jumaatnya.

Jawapan:
Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya: Ketika Nabi s.a.w sedang berkhutbah pada hari Jumaat, datanglah seorang lelaki. Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya: "Adakah engkau telah mendirikan sembahyang Tahiyyatul masjid, Wahai Polan! Orang itu menjawab: Belum! Rasulullah s.a.w bersabda: Bangun dan sembahyanglah!
Dari hadith itu, jelas bahawa sembahyang sunat ketika khatib membaca khutbah tidak meluputkan pahala Jumaat.

Soalan:
Kebiasaanya pada waktu sembahyang Jumaat jemaah akan melimpah sehingga keluar dari masjid. Masalah saya adakah sah Jumaat seseorang itu jika safnya terputus dari jemaah yang berada di dalam masjid.

Jawapan:
Antara syarat-syarat sah jemaah adalah seperti berikut:
• Tidak berdiri di hadapan imam kecuali ketika bersolat di keliling Kaabah.
• Mengetahui dengan pasti segala perbuatan imam, samada dengan cara melihat atau mendengar walaupun dengan bantuan orang lain (makmum di hadapannya) kecuali di antara imam dan makmum itu terpisah oleh sungai atau jalan atau jarak yang terlalu jauh.
Oleh itu sekiranya perkara di atas dipenuhi maka tidak jadi halangan bersembahyang di luar masjid sekalipun. Walaubagaimanapun untuk lebih afdal, datanglah awal untuk merebut saf yang paling dekat dengan imam.

Soalan:
6. Bagaimanakah sekiranya seseorang itu membawa dompet dan tali pinggang kulit di pakai semasa sembahyang. Apakah hukumnya.?

Jawapan:
Semua kulit kecuali yang daripada kulit khinzir dan anjing, adalah bersih setelah dibasuh sehingga hilang ainnya. Oleh yang demikian, hukum memakainya adalah harus.

Soalan:
7. Benarkah alkohol yang terdapat di dalam minyak wangi tidak boleh dibawa semasa sembahyang?Saya ingin tahu alkohol diperbuat dari apa bahan asasnya. Sebab ada yang berpendapat alkohol yang terdapat di dalam minyak wangi boleh dibawa semasa sembahyang.

Jawapan:
Terdapat khilaf dalam hal ini. Setengah berpendapat bahawa semua yang mempunyai unsur arak (alkohol) adalah haram, samada diminum atau dipakai. Setengah yang lain mengkatogerikan arak hanya kepada minuman yang memabukkan. Dan kerana minyak wangi bukan pada adatnya dibuat minuman, maka ianya tidak haram. Lebih lebih lagi dengan kemajuan sains yang mendapati bahawa semua tumbuhan mempunyai unsur alkohol seperti etanol,metanol dan sebagainya. Sedangkan kebanyakan minyak wangi berasal dari tumbuhan

8. Soalan:
Mana lebih afdal antara suami sembahyang bersama isteri dirumah atau suami berjemaah di masjid sedang isteri bersembahyang seorang dirumah.

Jawapan:
Suami adalah lebih afdal berjemaah masjid. Isteri pula lebih afdal sembahyang dirumah walaupun seorang. Sekiranya perempuan itu rupawan maka hukum bersembahyang dimasjid baginya adalah makruh.

9. Soalan:
1.Apakah jenis sembahyang sunat yang kerap dilakukan oleh Nabi S.A.W.
2.Bilakah masanya bermula mengikut jam (saya tak pandai tengok matahari)bagi sembahyang2 sunat Tahajud,Duha,Isyrak serta bilakah berakhirnya.

Jawapan
1. Solat-solat sunat yang dituntut untuk kita lakukan sebagaimana yang sering diamalkan oleh RAsulullah SAW. ialah Solat Rawatib, Dhuha, Awabin, Witir, Tahajjud, Isyraq, Tasbih, Hajat, Taubat, Musafir dan Tahiyyatul Masjid.
2. Waktu Solat Tahajjud ialah di sepertiga malam (lebihkurang pukul 2 atau 3 malam) selepas tidur. Solat Isyraq bermula apabila matahari terbit sehingga matahari berada kira-kira 30 kaki daripada ufuk bumi (jam 8 - 8.30 pagi) dan Waktu dhuha bermula selepas waktu Isyraq hingga sebelum gelincir matahari (Waktu Zohor).

10. Soalan:
Adakah sah sembahyang seseorang yang bermazhab Hanafi kerana orang yang bermazhab Hanafi tidak membaca BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM didalam Fatihah sedangkan membaca BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM di dalam Fatihah adalah wajib bagi orang yang yang bermazhab Syafie?

Jawapan :
Sembahyang orang yang bermazhab Syafie, yang menjadi makmum kepada orang yang bermazhab Hanafi adalah sah selagi mana makmum itu tidak mengiktikadkan bahawa sembahyang itu batal, kerana menurut mazhab Hanafi BISMILLAHIRRAHMAN-NIRRAHIM itu tidak termasuk dalam salah satu surah Al-Fatihah.h

Soalan :
Adakah diharuskan mengerjakan solat sunat lain selepas solat sunat witir? Perlukah mengulangi solat sunat witir tersebut?

Jawapan :
Ya, harus mengerjakan solat sunat lain seperti solat sunat Tahajjud selepas menunai-kan solat sunat witir. Tidak perlu mengulangi solat sunat witir tersebut kerana solat sunat witir hanya sekali di dalam satu malam.
Sabda Rasulullah S.A.W.,
Maksudnya: "Tiada dua witir dalam satu malam".

No comments:

Post a Comment