I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, 15 April 2011

Faedah Berjimat Cermat

Kebanyakan daripada kita telah disarankan agar berjimat cermat sejak kecil lagi. Kita perlu berjimat cermat sama ada dalam perbelanjaan seharian, ketika menggunakan air dan elektrik, dan sebagainya. Berjimat membawa maksud berhemat atau berhati-hati ketika menggunakan sesuatu. Sebenarnya, konsep jimat  tidak hanya berkaitan dengan wang. Jimat merangkumi aspek masa dan tenaga. Misalnya, untuk menjimatkan masa dan tenaga, kita memilih untuk berbasikal ke sekolah. Contoh lain ialah kita menelefon kawan lebih dahulu untuk memastikan dia ada di rumah apabila kita berkunjung ke rumahnya.
                Tujuan berjimat adalah supaya kita tidak melakukan sesuatu dengan sia-sia. Misalnya,kita perlu berjimat menggunakan wang. Caranya, adalah dengan membeli barangan yang perlu saja. Hal ini untuk mengelakkan kita membazirkan wang begitu saja. Berjimat ketika berbelanja membolehkan kita menyimpan wang. Wang tersebut dapat digunakan pada saat-saat kecemasan. Malah, sesebuah keluarga dapat merancang masa depan anak-anak mereka dalam pelajaran dengan mengamalkan tabiat berjimat cermat dari awal. Selain itu, sikap berjimat cermat dapat mengelakkan kita daripada tabiat suka berhutang.
                Amalan berjimat juga dapat menjadikan kita lebih berdisiplin dalam melakukan sesuatu. Orang yang berjimat dalam menggunakan masa, tidak akan membiarkan diri mereka lalai tanpa membuat sesuatu yang berfaedah. Peribahasa ‘’masa itu emas’’ akan menjadi pendorong kepada golongan ini agar menggunakan masa dengan sebaik-baik mungkin. Bagi pelajar, mereka perlu mengisi masa terluang dengan mengulang kaji pelajaran.
                Kesimpulannya, amalan berjimat cermat bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan. Perkara yang perlu diberi perhatian ialah membuat perancangan sebelum memulakan sesuatu. Dalam hal ini, kita perlu menanamkan dalam minda bahawa amalan berjimat cermat pasti akan membawa kebaikan kepada diri sendiri. 

2 comments:

  1. Terima Kasih :D
    Jasa Akan Di Kenang Sampai Bila-Bila.

    ReplyDelete
  2. Semoga perkongsian ini dapat beri manfaat kepada semua orang.

    ReplyDelete